|
ITQAN Memperoleh Keputusan Cemerlang SPM 2009 |
|
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan [ITQAN] berjaya memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 2.45 dalam Keputusan SPM 2009 yang telah diumumkan baru-baru ini. Keputusan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.77. Pada tahun 2009 lalu, seramai 22 orang calon telah menduduki peperiksaan. Hasilnya 12 orang pelajar berjaya mendapat antara 5A - 10A manakala selebihnya mendapat antara 1A-4A. Calon terbaik ITQAN kali ini adalah Abdul Hadi bin Zulkifli (10A).  Para guru amat berbangga dengan keputusan yang telah dicapai ini dan mengharapkan keputusan ini dapat memberikan dorongan dan semangat kepada calon SPM 2010. Menurut Ustaz Imran Shamsir (Setiausaha Peperiksaan SPM), meraih keputusan yang cemerlang memang susah, tetapi mengekalkan kecemerlangan adalah merupakan tugas yang lebih susah lagi. Justeru, beliau berharap agar calon SPM tahun ini akan meningkatkan usaha dan sentiasa bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi seterusnya mengekalkan kecemerlangan ITQAN di persada pendidikan negara khususnya di Negeri Sembilan. Tuan Haji Zamani Ibrahim (Pengetua ITQAN) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para guru atas kegigihan dan jerih payah mereka mendidik dan melatih para pelajar ITQAN sehingga dapat mencapai kecemerlangan yang diharapkan. Hanya Allah s.w.t sahajalah yang mampu membalas jasa dan pengorbanan guru mendidik para pelajar ITQAN selama ini.
|
|